Tags

Jalan Perdana, Kuala Lumpur –Masjid Negara telah menganjurkan ‘Kempen Derma Darah dan Pameran Pendidikan Kesihatan siri 2/2013, di Anjung Makam Pahlawan, Masjid Negara, Jalan Perdana, Kuala Lumpur pada Jumaat, 13 September 2013  mendapat  sambutan yang sangat baik daripada orang awam.

Kempen Derma Darah dan Pameran Pendidikan Kesihatan 2/2013 kali ini  mendapat kerjasama daripada Pusat Darah Negara, Sukarelawan dari ZB Consultancy, Klinik Pergigian Tanglin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pusat Sumber Transplan   Nasional, Bahagian Perkhidmatan Kesihatan  Wilayah Persekutuan serta   Bahagian PerubatanTradisional dan Komplementari di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.
Pertubuhan  bukan kerajaan (NGO) iaitu  Majlis Kanser Nasional ( MAKNA), Persatuan Orang Pekak Malaysia  dan Persatuan  bagi Mencegah Penyakit Tibi juga menyertai Program pada kali ini.
Kempen tahunan ini merupakan kali kedua diadakan bagi tahun 2013. Tujuan utama kempen ini diadakan adalah untuk membantu Pusat Darah Negara mengisi tabung darah negara. Selain itu ianya sebagai salah satu alternatif ke arah kebajikan yang dapat dilakukan oleh pihak Masjid Negara kepada masyarakat umum di samping memberi informasi dan pendidikan yang berguna serta bermaklumat tentang kesihatan. Ianya juga sebagai langkah untuk terus mengimarahkan Masjid Negara sebagai masjid terulung di Malaysia. Ini juga dapat menggalakkan orang ramai menderma darah sambil beramal.

Seramai  134 orang telah berjaya menderma darah dari seramai 146 orang yang  mendaftar  semasa kempen tersebut berlangsung. Jumlah tersebut merupakan antara yang tertinggi dicatatkan sepanjang Masjid Negara menganjurkan Kempen Derma Darah bermula pada tahun 2002. Walaupun jumlah itu dilihat sedikit tetapi sumbangan yang diberikan daripada orang awam sememangnya amat dihargai. Pihak penganjur mengharapkan agar kempen ini akan mendapat sambutan dan perhatian daripada orang ramai pada masa akan datang dengan memberikan lebih banyak publisiti serta promosi yang lebih meluas dan informasi awal kepada masyarakat umum berkenaan kempen ini.
Pelbagai pengisian menarik yang telah diadakan selain kempen menderma darah antaranya:

  • Pemeriksaan kesihatan percuma oleh doktor sukarelawan
  • Pemeriksaan gigi secara percuma oleh Klinik Pergigian Tanglin
  • Pemeriksaan dan kaunseling kesihatan oleh doktor/sukarelawan
  • Pendaftaran dan semakan sebagai pemilih bagi pilihanraya oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR)
  • Pameran kesihatan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)
  • Peranan dan objektif penubuhan Pusat Sumber Transplan Nasional
  • Pameran Persatuan bagi Mencegah Penyakit Tibi

Kempen Derma Darah dan Pameran Pendidikan Kesihatan seterusnya dijangka diadakan sekitar bulan  Disember 2013 yang diharap akan mendapat kerjasama daripada Jabatan / Agensi sedia ada dengan pertambahan Jabatan / Agensi yang berminat untuk membuat pameran pendidikan kesihatan serta pertambahan daripada bilangan penderma yang ingin membuat kebajikan dengan menderma darah.