“Saya kahwinkan dia kerana dia telah diperkosa,” kata Saad Mustafa, 44, ayah kepada Nor Fazira remaja 13 tahun yang diceraikan talak tiga oleh suaminya Mohd Fahmi Mohamed Alias, 20.
Saad berkata demikian kepada akhbar The Star dalam satu laporan eksklusif ekoran kisah gempar pasangan remaja terbabit yang hangat tersebar di media.
Menurut Saad, perkahwinan mereka dipersetujui oleh sebab anak perempuannya pernah diperkosa oleh Fahmi serta dua rakannya sebelum mereka sah bergelar suami isteri.
Saad memberitahu The Star bahawa dia telah membuat laporan polis pada 15 Julai 2012, namun laporan itu ditarik balik pada 17 November 2012 kerana ibu bapa Fahmi merayu kepada Saad untuk menarik dakwaan tersebut.
Pada Oktober 2013, Fazira memberitahu bahawa dia menuntut cerai kerana dilayan teruk oleh keluarga mertua serta yakin bahawa keluarga mertua tidak menyukainya. Saad juga mendakwa bahawa anak perempuannya selalu didera secara fizikal dan tidak diberi makan oleh keluarga mertua anaknya.
The Star turut mendapatkan liputan bagi mendengar cerita di pihak Fahmi dan dia telah menafikan segala dakwaan yang dibuat oleh Saad serta bekas isterinya itu.
Menurutnya, dia meniduri bekas isterinya selepas diijabkabulkan dan punca sebenar penceraian tersebut adalah kerana Fazira mempunyai hubungan sulit dengan seorang lelaki dari Kuala Ketil.
sumber: Astro Awani.