SHAH ALAM: Universiti Selangor (Unisel) berjaya membuktikan keunggulannya apabila berjaya melahirkan graduan berkualiti untuk pasaran pekerjaan negara walau dihimpit pelbagai berita angin.Naib Cancelor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, sepanjang tempoh enam majlis konvokesyen diadakan bermula pada tahun 2006 sehingga tahun 2011, Unisel sudah melahirkan 14,626 graduan dari pelbagai bidang pengajian yang ditawarkan.

“Peratusan pelajar Unisel yang bekerja di syarikat-syarikat antarabangsa dan GLC adalah tertinggi jika dibandingkan dengan keseluruhan IPT,” katanya.

Ini dibuktikan berdasarkan statistik yang dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) apabila hanya 23.3 peratus graduan lepasan Unisel masih belum mendapat pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

Angka ini adalah yang paling rendah berbanding dengan semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang lain.

Antara graduan Unisel yang berjaya mendapat pengiktirtafan badan profesional adalah Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan, Sufi Habibullah Roslan yang mendapat pengiktirafan pelajar terbaik daripada Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM), di Majlis Anugerah 2012 kali ke-53 IEM baru-baru ini.

Sufi mendapat keputusan Penilaian Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) cemerlang serta kejayaan projek tahun akhir yang melayakkannya menerima pingat emas IEM.

Anuar mengakui, kejayaan ini dipengaruhi oleh peningkatan kemasukan pelajar untuk setiap sesi pengajian kesan daripada beberapa kontroversi yang melanda Unisel.

“Saya beranggapan semua ini ada hikmahnya. Di sebalik semua spekulasi atau dakwaan selama ini membawa kebaikan kepada universiti.

“Tanpa disangka-sangka, jumlah kemasukan pelajar untuk semester pendek Unisel pada April tahun ini berjaya mencatatkan jumlah kemasukan cukup tinggi iaitu 1,400 orang pelajar berbanding kemasukan yang sama pada tahun lepas iaitu hanya 400 orang pelajar,” katanya.

Tambahnya, perkara ini berlaku sebelum keputusan UPU dikeluarkan untuk kemasukkan IPTA.

Jelasnya, keadaan ini membuktikan Unisel merupakan pilihan utama pelajar sekaligus menafikan dakwaan kononnya Unisel merupakan pilihan terakhir pelbagai pihak bagi melanjutkan pengajian selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

 

kredit : http://wargamarhaen.blogspot.com/2012/08/fakta-buktikan-graduan-unisel-antara.html